Ada waktunya kita tak sedar kita sebenarnya sedang sakit!

Saya seorang penulis blog. Saya juga seorang Jurufoto. Pengalaman kerjaya membawa saya membuat keputusan menulis pengalaman ketika dirawat setelah terkena penyakit batu karang. tidak ramai yang mahu pengalaman peribadi ini ditulis ketika sedang derita. Tapi percayalah dengan penulisan ini saya harus bertanggungjawab agar ada ramai yang akan berwaspada menempuh hidup ini.

Berapa ramai yang mengidap sakit jantung, barah, leukimia sanggup menulis pengalaman mereka. Doktor, mereka agak sibuk merawat pesakit dan ada yang menulis pun kerana faktor desakan kenaikan pangkat. Percayalah saya menulis dengan luahan hati ingin mengajak orang berubah.

Arwah mak saya pengidap Leukimia. Saya hanya mampu menulis dari pihak anak. Saya tidak mampu menulis sebagai pesakit. Isteri juga begitu. Malahan ia terlalu hak peribadi, saya tidak mahu menulis kerana tidak mahu kebebasan peribadinya di hebahkan. Saya pernah menulis pengalaman puteri kedua diserang demam denggi. Tahap kecelaruan paling tinggi saya alami apabila dia dimasukkan ke ICU selama empat hari. Saya menulis ketika itu kerana mahu masyarakat faham apa itu denggi!

Sebagai Jurufoto saya kerap makan di jamuan secara percuma sejak tiga puluh tahun lalu. "Saya punggut kolesterol percuma di mana-mana. Hotel, dewan makan dan sebagainya." Sotong, Udang, Ketam, daging, di merata tempat saya makan bersama. Itu nikmat yang saya ambil sekitar tiga puluh tahun.

Emak saya orang miskin. Balu kematian suami sejak saya berusia sebelas tahun. Kalau dapat makan yang sedap hanya setahun sekali. Hari-hari lain saya kerap makan ikan masin, pucuk paku, pucuk ubi dan cekor manis. Petai jering, genuak, pucuk genuak, pucuk jering pucuk kopi adalah ulam saya. Aaah kata orang itu ubat kencing manis. Sedap. Lazat. Sambal belacan, sambal udang adalah makanan paling lazat. Jeruk maman, jeruk rebung makanan orang miskin. Saya rasa selamat sebagai makanan seimbang.

Nah, sekitar tahun 2010 saya disahkan ada penyakit darah tinggi. Saya masih yakin ia bukan penyakit kronik saya kerana ia mungkin akibat tekanan kerja. Ingat kalau kita berkerja dalam bidang yang paling kita minat sekali pun tekanan tetap ada. Sekitar tahun 2011 saya disahkan mengidap Deabetes. Makanlah ubat sepanjang hayat selepas itu. Disamping itu saya kawal makanan. Tengok teh tarik macam racun.....Tengok roti canai macam toksik......Durian Raja Buah saya sudah takut tengok. Saya kena kawal makanan. Syukur ianya terkawal.

Sekitar 2012 saya mengalami kesakitan yang pelik. Asalnya saya ingat kena angin pasang. Kerana ketika ke Sarawak pada tahun 2009 saya pernah terasa sakit bahagian bawah pundi kencing akibat memikul beg kamera yang berat. Rakan doktor dari Unit Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) yang ikut serta berkata itu adalah penyakit angin pasang. Kesakitan itu datang semula tahun 2012. Pernah saya membawa beg pakaian dengan harapan ditahan kat wad. Tapi tidak menjadi. Ajaib dengan doa dan menggunakan sirih yang dilayur pada api dan dituam pada bahagian lelaki, saya pulih seperti biasa. Lega dan selesa sehingga pada tahun 2014 saya melihat perubahan pada air kencing. Sesekali ada darah. Air kencing keroh seperti air tebu cair. Ada buih. Paling ketara bila membuang air kecil di tandas duduk.

Saya membuat ujian darah di Poliklinik UKM Bandar Baru Bangi, Selangor. Selang tiga hari keputusan saya perolehi. Doktor kata buah pinggang saya bermasalah. Masyaallah. Saya bawa surat rujukan ke HCTM. Sekitar bulan April 2015 baru saya tarikh bertemu doktor.

Setelah dibuat Scan, saya disahkan ada batu karang di buah pinggang sebelah kiri. Sukar saya terima. tetapi apabila mengenangkan inilah takdir maka saya pasrah. Bertemu dengan pakar surgeri yang membuatkan saya terasa seperti batu besar menghempap ke badan. "Saya kena bedah U dalam tempuh dua bulan ni. OK, 17 Jun masuk wad, 18 bedah". Wau. Keputusan doktor mandatori. Saya diarahkan membuat temu janji untuk melakukan CT Scan.

Perjalanan untuk dibedah berjalan dengan kuasa Allah. Ada tak saya melakukan rawatan alternatif? Ada......Saya minta puteri sulong membaca ayat-ayat Quran terpilih ke atas air rebusan kulit Delima. Memang terasa tidak selesa dalam proses saya minum air itu. Saya pernah minum air jus apel hijau sebanyak empat biji. Saya pernah minum air Ural. Namun, 18 Jun 2015 saya masih menanti. Pernah puteri saya membawa bertemu seorang pengamal perubatan Metafizik yang mana beliau memberitahu batu karang saya tidak besar. Paling besar 5mm. Tapi doktor pakar telah memberitahu saya sebesar 7 CM. Saya diberikan (membeli) ubat Heomopaty dengan jaminan seminggu batu akan pecah.

Saya yakin apa jua yang saya usahakan Allah izinkan kerana sepanjang menunggu hari pembedahan saya tak sakit. Memang sepanjang saya disahkan ada batu karang tidak pernah merasai kesakitan. Kecuali ketika terlalu lama berdiri sakit pada pinggang akan terasa.

Malahan saya masih aktif bertugas ke Johor, ke Pahang, ke Penang. Sehari sebelum masuk wad, saya masih sempat memberi ceramah fotografi di Agensi Nuklear Malaysia.

Tepat sabda Rasullah:  لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ، فَإِذَا أُصِيْبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ الل
 Untuk setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat tersebut sesuai dengan penyakitnya, penyakit tersebut akan sembuh dengan seizin Allah ” (H.R. Muslim).

Keyakinan inilah yang saya amalkan. Namun dalam mencari ubat haruslah mengikut landasan Islam. Usah percaya perubatan yang boleh membawa kepada syirik. Percayalah penyakit itu akan membersih dosa kita. Oleh yang demikian jangan jadikan penyakit itu membawa kita ke arah menyesatkan. Bawalah bertemu dengan orang alim yang boleh  merawat secara yang mampu meningkatkan tahap keimanan kita. Paling mudah buat solat hajat. Baca doa yang boleh dirujuk dengan alim ulamak.

Doa zikir yang mustajab bacalah



Insyaallah jika membaca ayat ini Allah sembuhkan penyakit maka sembuhlah kita. Seandainya tidak dan kita dijemputNya mudah-mudahn Allah ampuni dosa terhadapNya.

Saya bersyukur Allah kembalikan kesihatan saya. Insyaallah rawatan susulan akan saya lalui. Malahan dikatakan satu pembedahan kedua akan dilakukan oleh doktor pakar enam bulan lagi.

Terima isteri dan anak-anak. Kakak, abang Mad, Sukri dan isteri serta anak-anak. Rakan yang melawat saya ketika di wad 5D. KZ, Rosli, Rahman, Hasnan, Khaidir dan isteri, Presiden Kesukma (Exco Ceupacs) En Abd Rahman dua orang staff di HCTM, Sharif Othman, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali (Naib Canselor UKM) Prof Dr Imran Hoo Abdullah (TNC Hejim UKM), dan En Aizam (pegawai khas NC), Wahid dan isteri, Cek Leha dan suami, Kak Su dan Is, Penasihat Undang-undang UMK Prof Datuk Abdul Halim Sidek. Pengarah PKK dan staff PKK (senarai ada di bawah. Pasukan doktor dan nurse di wad 5D dan 5J. Rakan-rakan facebook yang agak ramai menyedari saya masuk wad. Rakan-rakan di UKM yang mendoakan untuk saya.

Mohon jaga kesihatan. Ada waktunya kita tak sedar kita sebenarnya sedang sakit!

*Teruskan membaca tajuk-tajuk di bawah

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pembedahan kecil

Ku merasai derita tanpa suara

Wad 5D: Dari katil 17 ke katil 22 di Hospital Canselor Tuanku Muhkriz